Sunday 20 October 2013

JURULATIH SINGAXII :Aide harap Fandi dilantik

pan » Sukan
AIDE ISKANDAR: Rela berkorban demi memastikan masa depan bola sepak negara dapat terus mekar. - Foto TAUFIK A. KADER
 
Ketua jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun tiada masalah bekerjasama, malah hormati ikon negara

SAYA berdoa Fandi Ahmad dilantik menjadi Ketua Jurulatih SingaXII.
Demikian harapan ikhlas Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun, Aide Iskandar, apabila diajukan pertanyaan sama ada beliau boleh berganding dengan ikon bola sepak Singapura itu.
Jika ditakdirkan beliau dilantik menjadi pembantu Fandi pada suatu hari nanti, Aide, yang meminati legenda bola sepak negara itu sejak di bangku sekolah lagi, menyatakan kesediaan bekerjasama dengannya.
Bagi Aide, beliau fokus dengan tugas dan hasrat mahu membimbing pemain muda dan mahukan kesinambungan dalam corak permainan pasukan negara.
"Saya sentiasa memandang tinggi dan menghormati Fandi kerana pencapaian dan pengalaman yang diraihnya sebagai pemain dan jurulatih.
"Saya juga tidak ada masalah berkomunikasi dengan beliau.
"Kami sering juga berbual dan ini sudah tentu dapat memudahkan kami jika kami ditakdirkan digandingkan - beliau sebagai jurulatih dan saya sebagai pembantunya - pada suatu hari nanti.
"Tetapi beliau perlu membuat permohonan bagi jawatan itu terlebih dahulu," jelas Aide, yang ditugaskan membimbing Skuad Bawah 23 Tahun Singapura mengharungi cabaran Sukan SEA Myanmar Disember ini.
Khamis lalu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mendedahkan bahawa ia telah menerima sekitar 12 permohonan bagi mengisi jawatan Ketua Jurulatih SingaXII selepas V. Sundramoorthy memutuskan tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir pada 31 Disember ini.
Sundram, sebaliknya, memilih berhijrah ke Negeri Sembilan untuk mencari cabaran baru membimbing pasukan itu merebut semula tempat dalam Liga Super Malaysia (MSL) selepas diturunkan ke Liga Perdana pada musim depan.
Laporan media mengatakan bahawa Sundram ditawarkan gaji lumayan sekitar $25,000 sebulan bagi kontrak selama dua tahun itu.
Menurut Aide, yang pernah menjadi kapten pasukan nasional dan memiliki semua kelayakan yang membolehkannya menjadi jurulatih nasional, beliau turut berkongsi falsafah permainan dengan Fandi.
"Kami gemar corak permainan yang sama iaitu menyerang. Ini yang sedang saya usahakan dalam pasukan muda Singapura yang kini di bawah bimbingan saya.
"Dengan kehadiran Fandi, kami dapat memastikan terdapat kesinambungan dalam bentuk latihan yang diterapkan dalam permainan Skuad Bawah 23 Tahun negara," kata Aide.
Ketua Jurulatih Pasukan Nasional, Bernd Stange, turut memperkenalkan corak permainan yang sama menerusi gaya tika-taka ala Sepanyol atau hantaran pendek dan permainan pantas.
"Saya sebenarnya bersedia menyokong dan bekerjasama dengan siapa sahaja calon yang dilantik FAS menjadi Ketua Jurulatih SingaXII.
"Saya fokus dengan tugas saya membimbing pemain-pemain muda ini dalam Sukan SEA Myanmar dan Sukan SEA 2015 yang bakal diadakan di Hab Sukan Singapura," ujar Aide.
"Jika anda berdoa dan berharap orang lain menjadi Ketua Jurulatih SingaXII, bagaimana pula dengan peluang anda mengambil alih tugas itu?" tanya wartawan.
Aide tidak menjawab soalan itu.
Beliau hanya membalas dengan senyuman ikhlas yang membayangkan banyak kemungkinan.
Tetapi yang jelas, beliau sanggup berkorban demi memastikan masa depan bola sepak negara dapat terus mekar.
Demikian pengorbanan seorang bekas kapten dan demi cintanya pada bola sepak.
"Saya sentiasa memandang tinggi dan menghormati Fandi kerana pencapaian dan pengalaman yang diraihnya sebagai pemain dan jurulatih... Kami sering juga berbual dan ini sudah tentu dapat memudahkan kami jika kami ditakdirkan digandingkan - beliau sebagai jurulatih dan saya sebagai pembantunya - pada suatu hari nanti."
SAMBUNG BACAAN...

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Penciptaanku