Friday 23 August 2013

Mubarak jalani tahanan dalam rumah

BELUM BEBAS SEPENUHNYA: Para pegawai perubatan mengusung Encik Hosni Mubarak ke dalam ambulans selepas helikopter yang membawa beliau dari penjara Tora di Kahirah, mendarat di luar Hospital Tentera Maadi, kelmarin. - Foto AP

KAHIRAH: Bekas Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, kelmarin telah dipindahkan dari penjara bagi menjalani tahanan dalam rumah di sebuah hospital tentera.
Rakaman televisyen menunjukkan sebuah helikopter yang membawa Encik Mubarak tiba di tapak pendaratan di luar hospital.
Keputusan untuk mengenakan tahanan dalam rumah itu dibuat kerana bimbang pembebasannya akan meningkatkan lagi konflik yang sedang berlaku di Mesir berikutan penggulingan bekas Presiden Mohamed Mursi pada 3 Julai lalu.
Awal dari itu, pihak mahkamah mengarahkan pembebasan Encik Mubarak, 85 tahun, selepas peguamnya membuat rayuan terhadap kes rasuah yang dihadapinya.
Beliau, yang telah meringkuk di penjara selama dua tahun, bagaimanapun masih berdepan dengan beberapa lagi tuduhan di mahkamah.
"Mubarak telah dipindahkan ke Hospital Tentera Maadi atas permintaan peribadinya," kata jurucakap menteri dalam negeri, Jeneral Moustafa Bazz.
Sejak hilang kuasa, penyokong Encik Mubarak membuat beberapa pendedahan bercanggah termasuk mendakwa beliau menderita serangan angin ahmar, serangan jantung dan koma.
Pengkritik menyifatkannya cubaan menagih simpati rakyat bagi meringankan hukuman.
Isterinya, Cik Suzanne, yang tinggal di Kahirah kerap melawat Encik Mubarak dan dua anak lelaki mereka di penjara.
Sepanjang tempoh tahanan dalam rumah, Encik Mubarak dilarang ke luar negeri kerana beliau masih menantikan perbicaraan bagi penglibatannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan rakyat pada awal 2011.
Perbicaraan itu dijadualkan diadakan lusa.
Pembebasan Encik Mubarak telah disambut dengan sorakan para penyokongnnya yang berhimpun di depan Hospital Tentera Maadi, sambil melaungkan slogan menentang Encik Mursi dan anggota Persaudaraan Islam (Ikhwanul Muslimin).
Mengulas perkembangan terbaru itu, pemerintah Amerika Syarikat berkata adalah menjadi hak Kahirah untuk memutuskan nasib Encik Mubarak. Sambung...

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Penciptaanku